"NAMA ALLAH BUKAN ISU MALAYSIAN MALAYSIA !
oleh Prof Ismail Ibrahim
Kalau dalam isu-isu lain mungkin telah banyak tuntutan dalam dasar equality in diversity atau sebelum ini, mungkin lama dulu dan hampir terpadam pada permukaannya, dasar itu diungkapkan sebagai Malaysian Malaysia, maka dalam dasar nama Allah yang diminta supaya digunakan dalam agama lain janganlah disamakan dengan dasar-dasar lain itu. Kita merasakan bahawa dalam penggunaan istilah nama Allah itu, maka biarlah amalan ini merupakan sesuatu yang ekslusif untuk agama Islam sahaja, dan sesiapa yang ingin menganggu gugat pendirian ini, kita bolehlah merayu kepada mereka "Please leave us alone in this matter!" Tolong jangan ganggu kami dalam hal ini.
"Enough is anough" cukuplah dengan segala dasar lain, termasuk yang termaktub di dalam Perlembagaan telah dituntut untuk disamaratakan, di berikan hak yang sama rata, sama rasa di antara seluruh rakyat tanpa mengira sebarang latar belakang sosial, ekonomi dan agama, maka hak dalam menghayati konsep ketuhanan dalam agama ini, janganlah nak direbutkan, dicabar dan dimanipulasikan begitu rupa.
Nama Allah tetap merupakan sesuatu yang asas dan fundemental bagi Islam. Nama Allah, dari sudut falsafah, takrifan dan konsepnya, tetap tidak sama dengan nama Tuhan, God, Lord dan sebagainya dalam penggunaan agama lain. Orang Islam, lebih memahami konsep ini seperti yang dibaca dan dijelaskan oleh Kitab Suci Al-Quran, tetapi umat Islam, khususnya di Malaysia, rela menerima perbezaan ini di atas dasar unity in diversity dan atas dasar tolak ansur agree to disagree dengan amalan dan pengertian serta konsep tuhan dalam agama lain, terutamanya dalam kepercayaan para penganut agama Kristian.
Dalam Surah Al-Maidah sahaja terdapat sekurang-kurangnya tiga ayat yang menjelaskan perbezaan Tuhan "Allah" dan Tuhan atau God menurut yang diiktikadkan oleh penganut Kristian.
Ayat 17 Surat tersebut menjelaskan begini: "Demi sesungguhnya kafirlah orang-orang yang berkata: bahawasanya Allah ialah Al-Masih ibn Maryam. Katakanlah (wahai Muhammad) "Dakwaan itu tidak benar, kerana siapakah yang dapat menahan seksa dari Allah sedikit jua pun kalau Dia mahu membinasakan Al-Masih ibn Maryam berserta ibunya dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya.."
Ayat 72 dari Surah yang sama menjelaskan: "Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: bahawasanya Allah ialah Al-Masih ibn Maryam, pada hal Al-Masih sendiri berkata: Wahai Bani Israel, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, meka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga, dan tempat kembalinya ialah neraka, dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim"
Ayat 75 dalam surah yang sama juga menegaskan: "Tiadalah Al-Masih ibn Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. dan ibunya seorang perempuan yang amat benar, mereka berdua adalah memakan makanan (seperti kamu juga). Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka (Ahli Kitab itu) keterangan-keterangan (yang tegas yang menunjukkan kesesatan mereka) kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan (oleh hawanafsunya daripada menerima kebenaran yang jelas nyata itu).
Apakah kefahaman dan akidah anak-anak orang Islam yang memahami konsep Tuhan Islam yang bernama Allah itu amat berbeza dari konsep Tuhan Kristian triniti itu akan dikelirukan dengan penggunaan nama yang sama, seolah-oleh semua Tuhan dalam sebarang agama adalah membawa takrifan, falsafah dan konsep yang sama? Maka kalau demikianlah keadaannya, kenapakah kita harus berbeza agama dan akidah dalam menghayati dan mengamalkan agama masing-masing?
Banyak pengajaran secara langsung yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran yang memberikan makna ini kepada umat Islam, umpamanya bacalah Al-Quran Surah Al-Taubah ayat 30 dan 31, ketika kita diperingatkan bahawa "Orang-orang Yahudi mengatakan bahawa Aziz ialah anak Allah" dan orang Masihi pula mengatakan bahawa "Al-Masih ialah anak Allah"........
Budaya dan cara hidup serta bahasa negara kita berbeza dari negara lain. Bahasa dan budaya Arab berbeza dari bahasa dan konotasinya dari bahasa lain, kerana bahasa adalah merupakan terjemahan dari satu budaya dan tradisi serta gaya hidup sesuatu bangsa itu. Bahasa Arab menggunakan nama Allah untuk Tuhan adalah dalam kefahaman pramasastera dan retorika bahasa itu yang amat casnggih sekali, dan kefahaman orang Arab tidak mungkin terpisah dari konsep Allah dan Tuhan yang digunakan untuk kepelbagaian agama.
Orang Arab dapat bersumpah ratusan kali dalam perbualan biasa mereka dengan menyebut "Wallahi" yang kalau dalam penggunaan bahasa Melayu merupakan satu sumpah dalam istilah syariah yang amat salah diucapkan sewenang-sewenangnya dalam perbualan harian, tetapi sumpah ini tidak sama dengan sumpah yang kita fahami dalam bahasa kita, sehingga terdapat ayat Al-Quran yang menjelaskan tentang sumpahan biasa dalam penggunaan bahasa mereka dengan sumpah dalam istilah syariah yang kita fahami.
Maka demikianlah juga dengan penggunaan nama Allah yang cuba dibandingkan dengan penggunaannya di dalam bahasa lain, khususnya bahasa Arab, sesungguhnya perbandingan ini haruslah difahami dari sudut linguistik dan budaya bahasa itu sendiri diantara bahasa Melayu dan bahasa Arab.
Janganlah dicuba untuk mencari justifikasi yang remeh untuk menjustifikasikan penggunaan nama Allah bagi Tuhan Kristian, iaitu yang merupakan dakwaan dan alasan bagi menuntut sesuatu yang amat sensitif dan tidak dapat diterima di dalam budaya dan cita rasa bangsa kita di negara kita ini.
Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al-Taubah ayat 32 : "Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahaya-Nya, sekali pun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).
Kepada saudara-saudara pembaca entri ini, ingatlah akan hikmah dan ilmu kurniaan Allah kepada kita, bahawa kita mengetahui dan memahami akan maksud dan hakikat peringatan Allah kepada kita dalam isu ini, tetapi peringatan Allah itu adalah untuk pertahanan diri kita dan anak cucu kita, bagi mengatur strategi pendidikan dan penyampaian hikmah kita, bukan untuk mencerca dan menghina atau mengata nista sesama manusia, termasuk kepada rakan-rakan kita dari agama lain, kerana kita menyedari prinsip agama kita tentang dasar hidup bersama secara aman dan damai (peaceful co-existence) :Bagi kamu agama kamu, dan bagi kami agama kami"...Surah Al-Kafirun, ayat 6 Semoga lanskap budaya dan politik kita tidak secara mudahnya dicemarkan oleh tangan-tangan rakan kita yang berlumpur dan kotor ketika dunia umumnya memasuki era gerhana hitam pada masa kini...."Wallahu'alam
Artikel Prof yg asal disini.
No comments:
Post a Comment